Tuesday, August 22, 2006

Cyberita (Ekstra!)

TUN FATIMAH

BANYAK MEMBACA UNTUK ILMU BUKAN BERMEGAH
Cyberita : Ekstra, 22 Ogos

BAGAIMANA harus anda menekuni bidang penulisan? Tiada jalan pintas untuk menjadi penulis yang baik.

Anda tidak boleh membaca sebuah buku panduan, misalnya 'Panduan Kilat Menjadi Penulis Tersohor', jika adalah buku sedemikian dalam pasaran.

Ini kerana buku-buku yang kononnya boleh melahirkan penulis yang serta-merta sebagaimana mi segera akan segera juga mematikan minat anda dalam bidang ini.

Anda harus membaca seberapa banyak buku sastera yang berlainan genre, baik dalam bahasa Melayu, Inggeris, atau jika anda memahami bahasa lain misalnya bahasa Arab dan lain-lainnya.
Kerana masa anda terbatas, pilih buku-buku yang dianggap baik dahulu, hadami isinya dengan saksama, dan jika anda terpikat dengan gaya penulisan pengarangnya, baca beberapa buah karyanya lagi.

Anda mungkin boleh membaca mengikut zaman-zaman tertentu, misalnya ambil sedikit karya sebelum Perang Dunia Kedua, kemudian sedikitnya daripada zaman selepas Perang Dunia Kedua, zaman merebut kemerdekaan, zaman merdeka dan sebagainya.
Boleh juga, jika dikaji karya-karya dari Indonesia, dimulakan pada zaman Balai Pustaka, zaman Pujangga Baru, Angkatan 45, zaman merdeka dan lain-lainnya.

Demikian juga boleh anda lakukan bagi kesusasteraan negara-negara lain, walaupun anda tidak semestinya membaca karya-karya sesebuah negara mengikut urutan zaman penglahiran karyanya sahaja.

Boleh sahaja anda merencamkan pembacaan anda dengan meneliti, misalnya, karya berunsur tasawuf tulisan Fariduddin Attar berjudul Conference of the Birds, kemudian digugah gaya tulisan esei yang menawan tulisan Pico Iyer, mengenal sedikitnya puisi jenis Haiku dan tulisan Basho, terpikat dengan kelunakan karya-karya Usman Awang, digetar drama-drama Nordin Hassan mahupun Arrifin C. Noer, atau menghimbau keindahan puisi-puisi Amir Hamzah mahupun Zurinah Hassan atau gaya penulisan Goenawan Mohammad mahupun Siti Zainon Ismail.

Sastera Melayu/Indonesia dan sastera dunia terbuka luas untuk anda, baca sebanyaknya, bukan untuk bermegah tetapi meningkatkan pengetahuan anda dan meresapi yang terbaik daripada pandangan dan gaya penulisan pengarangnya.

Anda juga perlu membaca karya-karya bukan sastera terutama mengenai kemasyarakatan, psikologi, sejarah, ekonomi, politik, pendidikan, perubatan dan persekitaran menurut minat anda agar ruang lingkup anda akan terbentang lebih luas lagi.

Sekadar contoh, mengapakah karya-karya A. Samad Said, Pramoedya, Faisal Tehrani, Arena Wati dan Zaharah Nawawi menimbulkan minat kita?

Selain ketukangan penulisnya, pengarang-pengarang ini gemar membuat kajian, menambahkan ilmu bantu mereka demi melahirkan karya yang lebih 'hidup' untuk pembacanya. Pengetahuan yang dimiliki melebihi apa yang dilahirkannya dan ini dipadatkan dan dicernakan dalam karya mereka tanpa perlu menempel-nempelkan fakta-fakta itu sahaja. Kerana ilmu bantu mereka yang lebih, saripatinya kita temui dalam karya-karya mereka.

Ada orang menganggap anda perlu mencari semacam mentor dalam bidang penulisan, lantas barulah boleh menulis.

Faisal Tehrani, misalnya lama mendampingi A. Samad Said dan Shahnon Ahmad, dan kedua-duanya secara tidak langsung mempengaruhinya.

Tetapi mendampingi seseorang pengarang secara fizikal tidak semestinya membolehkan seseorang itu menulis dengan baik.

Paling banyak, seorang pengarang veteran hanya boleh mendorong, penulis muda tadi harus berani melalui jalannya sendiri demi mencari landasannya yang tersendiri dalam dunia sastera.
Mentor terbaik mungkin adalah karya-karya penulis veteran itu sendiri dan bukan penulis veteran itu secara peribadi menjadi semacam si penunjuk ajar.

Pandanganku :
Aku rindu dengan kajian dan apresiasi teks yang pernah ku lalui sewaktu bangku sekolah dahulu dalam perjalanan mengharungi onak duri sebagai guru pelatih. Bukan mudah untuk seseorang menghasilkan karya penulisan yang baik. Banyak pembacaan dan rujukan yang perlu ditempuhi untuk menulis supaya pembaca meminati hasil karya seseorang itu. Penulisan yang berbentuk picisan tanpa kualiti yang baik tidak mendatangkan faedah. Sebab itu, ada di kalangan penulis yang mengambil masa yang lama untuk menyiapkan sebuah cerpen, novel dan genre sastera yang lain.

Aku sendiri masih jauh perjalanan menjadi seorang penulis. Pada masa ini, aku hanya mampu menghayati penulisan mereka. Jika diizinkan Allah, mungkin suatu masa aku dapat menggarap potensi yang ada dalam diri ini untuk menulis dengan baik.

Tinta Hatiku pada jam 9:53 AM