Sunday, July 09, 2006

Manira kau dan aku

Bayangkan dunia tanpa mentari merah.
Bayangkan dunia tanpa bianglala.
Yang ada hanya putih dan hitam.



Pastinya emosiku akan bercelaru dek suasana yang kelam dan pusam. Setiap hari merenung di jendela mahupun di luar rumah, yang ku lihat hanyalah hitam- putih-hitam-putih, seperti penguin yang tergolek-golek di kutub sana. Bosan kan?



Hmmm....

Cubalah kita renungkan wajah manusia.Apakah yang akan terjadi jika manusia diciptakan begini?


Lain pula ceritanya. Kaget dan terkejut jadinya!

Mungkin amat pelik dan janggal kerana manusia dicipta dengan asas warna tanah tidak kira hitam manis, kuning langsat atau kemerah-merahan. Namun demikian, bukankah warna memainkan peranan penting dalam kehidupan kita? Sejak dari dulu lagi, ahli Sains seperti Aristotle, Avicenna dan Chevreul banyak mengaitkan kajian mereka dengan warna. Johannes Itten pula amat berminat dalam kajian warna dan perasaan manusia. Malahan, pada era masa kini, warna giat digunakan oleh para doktor sebagai bahan terapi dan psikologi manusia terutama sekali pada kanak-kanak yang mengalami masalah.

Apa yang dilihat di atas mungkin hanyalah topengan yang berwarna-warni. Realitinya, topengan itu juga menggambarkan sifat dan akhlak manusia yang mencalitkan warna di topengan itu. Emosi yang bergejolak, ketenangan hati dan kegembiraan selalunya digambarkan dengan warna-warna yang dipilih. Contohnya, merah boleh dikaitkan dengan sifat marah. Dari sudut positif, keberanian diutamakan. Terpulang kepada individu untuk mentafsirkan ertinya. Kadangkala, tafsiran warna juga bergantung kepada budaya dan kehidupan sesuatu masyarakat. Kalau orang Melayu jati pun, kulit sama coklat, tapi hati tetap lain...

Aku juga begitu...
Inilah hasil topengan maniraku...

Aspirasiku sebagai seorang pendidik dari sesi perkongsian mengenai Lukisan dalam Siviks dan Pendidikan Moral sewaktu MOE Excel Fest yang baru berlalu. Mereka kata, jangan lihat pada warna, lihat pada akhlaknya. Tetapi....

Merah yang ku warna
Adalah lambang tekad yang utuh
Keringat yang ku perah
Hasil tenaga merangsang minda anak bangsa
Kerana kasih akan ilmu sepanjang masa

Jingga yang ku corak
Simbol kreativiti yang ku pacak
Sebagai motivasi anak-anak didikku bergerak
Agar kesungguhan mereka sentiasa tersemat

Kuning ku bukan kerana gentar
Kuning ku demi menjaga maruah
Maruahku juga maruah agama
Menjadi benteng setiap ketika

Kata orang 'Seorang bayi itu ibarat kain putih... ibu dan bapa yang mewarnakan kehidupan mereka...' Fikir-fikirkanlah...

Tinta Hatiku pada jam 12:04 PM