Friday, July 21, 2006
Hari Berwarna-warni
Si kecil ghairah mengenakan pakaian tradisional. Tidak kira pakaian bangsa sendiri atau bangsa rakannya. Begitu jua dengan yang dewasa. Tidak melepaskan peluang bergaya bersama.
Pada 21 haribulan Julai, sekolah-sekolah menjadi lebih meriah dan berwarna-warni. Wajah-wajah menjadi ceria dengan pelbagai acara yang disediakan untuk para pelajar. Acara-acara yang dipersembahkan pula berbeza mengikut atur cara sekolah masing-masing.
Bagi diri aku, Hari Keharmonian Kaum pada kali ini mengenalkan aku dengan satu seni mempertahankan diri orang India;
Silambam. Kita sering didedahkan dengan seni-seni mempertahankan diri yang ada seperti
silat atau
wushu. Tahukah kita tentang silambam? Walaupun masyarakat India di sini hanya segelintir sahaja, hakikat ini tidak bermakna kita mengenepikan budaya mereka. Deepavali mahupun Thaipusam memang sering diperkatakan. Aku pernah menonton dokumentari tentang Silambam pada masa dahulu.
Silambam berasal dari perkataan
Silambamboo yang bermakna bambu dari bukit. Bambu ini merupakan senjata utama bagi seseorang yang mempelajarinya. Apa yang menarik ketika menyaksikan silambam ini ialah tepukan yang juga merupakan satu gerak seni dalam silambam! Aku kagum dengan penggiat seni yang mahir menggunakan bambu dengan pergerakan yang amat laju. Seni mempertahankan diri ini tidak mempunyai pertandingan atau ujian. Namun demikian, jangan sesekali menganggapnya remeh.
Sebagai rakyat Singapura, sikap saling hormat-menghormati amat penting untuk menjana kesejahteraan negara. Sifat riak dan mementingkan bangsa sendiri boleh menjatuhkan imej negara yang sekecil noktah di mata dunia. Sebaiknya kita mengajar generasi muda menghargai dan melestarikan perkara-perkara baru yang ditemui. Pelajaran siviks dijadikan pengukuhan atau pengayaan seseorang pelajar untuk memahami adat resam budaya rakan mereka.
Kita tidak mahu sejarah berulang kembali. Telah banyak usaha dan wang diperuntukkan untuk memajukan tanah tumpah darah kita. Mentelah lagi, bukankah ajaran Islam menggalakkan umatnya menghormati kepercayaan dan kebiasaan orang lain? Jika kita mengeji dan menghina budaya bangsa rakan kita, apakah kita mampu menerima ejekan mereka tentang budaya kita?
Justeru, ku ucapkan Selamat Hari Keharmonian Kaum kepada rakyat Singapura!
Hidup harmoni di mana sahaja kita berada... tenangkan hati, luaskan minda!
Tinta Hatiku pada jam 9:56 PM