Tuesday, July 11, 2006

Apresiasiku


Didorong oleh rasa ingin membela agama dan perasaan ingin memenangi hati Natalya. Zakry berusaha mendalami agama sendiri dalam tempoh yang singkat. Malah dia juga mendalami Bible dan masalah yang timbul di dalamnya. Dia cuba membuktikan kepada Natalya yang dia sudah berubah menjadi manusia yang lebih berprinsip dan beragama. Sekali gus mahu membuktikan Islam adalah agama yang benar.

Cinta terlalu murah. Sepanjang waktu dia cuba membuktikan kenyataan itu, namun realiti menyatakan sebaliknya. Natalya muncul dan Zakry menemukan sebuah cinta yang begitu sukar dimenangi. Ia bukan sekadar mengajarnya erti pengorbanan, malah mengajarnya erti ketuhanan. Natalya bukanlah seperti gadis kebanyakan yang pernah ditemuinya. Dia dibesarkan dalam keluarga yang kuat beragama Kristian dan berpegang utuh pada ajaran Bible. Saat Zakry meluahkan perasaan cintanya kepada Natalya, malangnya dia bertepuk sebelah tangan. Malah Natalya bertindak memperlekehkan dirinya selaku seorang Muslim yang langsung tidak memahami agama anutan sendiri.

Peristiwa itu menyebabkan Zakry kecewa dan berazam untuk berubah. Malah dia juga mendalami Bible dan permasalahan yang timbul di dalamnya. Dia cuba membuktikan kepada Natalya bahawa dia telah berubah menjadi manusia yang lebih berprinsip dan beragama. Sekaligus mahu membuktikan bahawa Islam adalah agama yang benar. Justeru, untuk mencapai matlamat itu Zakry telah melalui proses yang panjang. Mungkinkah dia berjaya mencapai matlamat itu atau tidak? Pastikan anda mengetahui penghujung kisah ini.

Hari ini aku hendak ucapkan tahniah kepada rakan maya yang berjaya menghasilkan buku genre agama dalam bentuk novel grafik. Malah aku tabik! Bukunya adalah yang pertama dihasilkan di Malaysia dalam bentuk sedemikian. Kelebihannya kerana bakat beliau yang pandai melukis dan menulis. Lukisannya itu menghiasi dada-dada muka surat yang membuatku santai apabila membaca bukunya.

Selak-selak isi kandungan

Memang sudah lama aku menunggu buku-buku berunsur dakwah untuk memasuki pasaran dengan cara yang kreatif. Malah, satu medium dakwah yang paling mudah juga. Walaupun dari jauh dilihat seperti ilustrasi dari komik, mesej yang disampaikan amat mendalam dan menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia yang berligar di sekitar percintaan dan keagamaan. Pastinya, jika isi kandungan buku ini disampaikan dalam bentuk novel yang biasa, aku akan berasa bosan. Aku percaya, setiap mesej yang berat itu mudah difahami jika kita mengatur strategi dan melihat keinginan para pembaca dan tren masa kini untuk disesuaikan dengan kehidupan muda-mudi.

Aku juga bersyukur kerana bertemu dengan rakan-rakan maya di seberang tambak yang mempunyai minat dalam lukisan dan penulisan. Tidak sia-sia mengenali kawan yang membawa kebaikan kepada diri kita. Setidak-tidaknya, otak aku ini pun dapat bersenam sama mendengar perit jerih rakan-rakan yang sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat yang diinginkan. Aku tabik dengan Ubai. Walaupun masih menuntut di Cairo di Tanah Arab sana, beliau masih lagi tekun dan menulis di media tanah tumpah negaranya.

Syabas, A.Ubaidillah Alias atau yang asal aku kenali sebagai cairostudent.

Teruskan perjuanganmu teman
Dalam perjalananmu pasti ada yang sukar

Terpijak duri, terluka berdarah
Semuanya resam perjuangan kita

Seperti yang kau kata,

'dengan langkah yang tetap dan mandiri...'

- Sekudus Nur Illahi-
A. Ubaidillah Alias
Pelukis dan Penulis

Tinta Hatiku pada jam 8:07 PM