Thursday, July 20, 2006

Badang oh Badang!

Badang oh Badang! Versi Kelante.


Melayu kita Melayu istimewa. Rumpun kita, rumpun berbeza. Orang Jawa mengaku Melayu. Orang Yunan mengaku Melayu. Orang India, orang Arab, semuanya ada sebab tersendiri mengaku Melayu.


Di Singapura, Melayu kita Melayu sama. Yang wujud pun dialek semasa. Macam bahasa Inggeris dengan bahasa Singlish. Dialek Melayu kita pula mengikut rentak dan tren dunia. Kadangkala, dicampur pula dengan dialek orang Penang, orang Kelantan, menjadi rojak milik tersendiri.

Aku terkesima dengan klip video ini kerana kejayaan pereka grafik dan rakan-rakannya menghasilkan animasi dalam dialek Kelante. Sebenarnya, penghasilan seni grafik sebegini dapat diperluaskan dan dieksploitasi dalam multimedia khususnya dalam bahasa Melayu. Dengan produk-produk sedemikian, masyarakat atau para pelajar boleh mempelajari dialek-dialek yang ada dalam sesebuah kehidupan masyarakat Melayu itu sendiri dengan animasi yang lucu dan santai. Pendedahan sedemikian akan dapat memberi manfaat kepada golongan yang mempelajari budaya atau bahasa sesuatu daerah.

Kita sibuk dengan pendedahan Teknologi Maklumat. Contohnya, blogging sendiri merupakan salah satu wadah untuk merealisasikan matlamat itu. Dari kaca mataku, animasi yang dikhususkan dalam bahasa Melayu di sini belum meluas. Aku pun terfikir...

Adakah kerana pereka grafik dari bangsa kita sendiri belum mencapai tahap yang memuaskan? atau
Adakah mereka lebih selesa menghasilkan animasi dalam bahasa Inggeris?

Aku pasti ada para pereka grafik di antara kaum kita yang prolifik. Justeru, tugas kita sekarang untuk mencuba dan menyatukan pereka dan ahli bahasa untuk menghasilkan animasi yang mantap untuk tatapan pengguna.

Kita selalu kata, keruntuhan peribadi muda-mudi kerana pengaruh persekitaran yang tiada unsur ketimuran. Justeru, jika teknologi sedemikian bukan dari timur, ambillah kebaikannya. Gunakan teknologi yang ada untuk melestarikan bahasa supaya subur. Sekurang-kurangnya, dengan kerjasama yang terjalin, pelapis muda ini dapat juga mengetahui sedikit sebanyak tentang bahasa dan budaya orang Melayu, ye tak? Sambil menyelam, minum air! :)

Tinta Hatiku pada jam 9:38 PM