Monday, July 10, 2006
Yok, canting!
Hari ini, sesi batik telah diadakan pada waktu rehat untuk mengisi masa murid sambil menimba ilmu baru. Aku gembira kerana sikap kesukarelaan murid dari bangsa lain yang ingin mencuba sesuatu yang baru -
batik. Walaupun pengalaman yang diperoleh hanya sedetik sahaja, bukankah setiap pengalaman sebesar
zarrah juga dianggap ilmu? Dan ilmu itu pula jika dapat dikongsi sekecil mana pun tidak akan rugi jadinya. Hanya kebimbingan yang menyelinap di fikiranku seketika jika orang kita tidak mengenali keindahan dan keistimewaan seni ini.
Kalau pandang tidak tahu. Alat batik kau tahu?
Jom cerita sikit fasal batik!
Canting, amat berkait rapat dengan seni lukisan batik. Alat ini amat diperlukan untuk melakar perbagai jenis corak mengikut kehendak pelukisnya. Namun demikian, sesuatu corak tidak boleh terjadi jika canting itu tidak diisi dengan lilin yang telah dipanaskan untuk membentuk corak tersebut. Mereka yang mahir menggunakan canting aku anggap sebagai orang yang telaten kerana kesabaran sangat diperlukan untuk penghasilan batik yang terbaik mentelah lagi dalam bidang perniagaan. Cuma, penggunaan canting mengambil masa yang agak lama. Justeru, pada abad yang ke19, penggunaan cap dicipta untuk menghasilkan kain-kain batik yang lebih cepat dalam perniagaan.
Batik pula berbeza dari satu negara dengan negara yang lain. Batik Indonesia pastinya berbeza dengan Batik di Malaysia. Pada zaman ini, batik sudah kembali popular. Aku teringat ketika bercuti di Malaysia tahun lalu. Mereka telah mengadakan festival batik di KL. Apa lagi, aku sakan berbelanja di sana kerana fabriknya yang amat menarik. Sekarang pun, sudah ada batik kontemporari. Mungkin, batik sebegini lebih digemari oleh orang-orang muda kerana warna yang lebih terang berbanding golongan veteran yang mempunyai cita rasa batik yang asli. Malahan, corak batik digayakan dengan blaus ala Kimono yang kian digemari oleh kaum wanita masa kini.
Aku pun baru mendapat tahu bahawa batik, bukan sahaja dihasilkan di Tenggara Asia, batik juga digunakan di Afrika dan Ukraine! Wah, hebat bukan! Bezanya, mereka menggunakan bahan-bahan yang berlainan untuk menghasilkannya. Apa pun jua, batik yang dipercayai asalanya dari Tanah Jawa telah menyerantau ke seluruh dunia. Salah satu organisasi yang aku tahu ialah
BatikGuild yang berpusat di UK.
Lukisan abstrak, lukisan hidup atau pemandangan, semuanya digunakan dengan kaedah batik. Amat memberangsangkan! Justeru, kejayaan batik untuk berkembang di negara-negara lain memberi sambutan yang positif.
Cuma....
Aku tertanya-tanya dalam diri. Malu juga kalau orang kita tidak mengetahui tentang batik. Bukanlah diri ini menyuruh semua menyelidiki latar belakangnya. Apa pula orang luar kata kalau dengan melihat bingkai gambar, canting dan kain sebagai alat-alat mudah melukis batik tidak kita ketahui? Adakah kita akan jawab "
Entah, aku pun tak tahu lukisan apa ni!" Sekurang-kurangnya apabila kita pandang sahaja, kita tahu itulah batik walaupun pengetahuan tentang hal itu tidak mendalam.
Jika diteliti, aku suka dengan cara asli melukis batik dengan mengawal canting. Cara ini memerlukan latihan dan istiqamah supaya gambar yang dihasilkan cantik. Tanpa kawalan yang betul, comotlah jadinya! Tidakkah dengan kaedah begini menunjukkan bahawa orang Melayu kita memupuk nilai kesabaran dan kesungguhan melakukan sesuatu? Kehalusan budi dan kesantunan pekerti terpancar dari penghasilan batik itu.
Atau kita hanya ibarat kerbau dicucuk hidung atau seperti watak di atas tadi? Yang membiarkan orang luar tekun mengetahui tentang seni budaya kita sedangkan kita sibuk mengikut seni luar yang lazimnya tidak
sebulu dengan tatasusila masyarakat dan agama kita. Kejayaan batik mungkin kerana penyebarannya yang meluas. Bagaimana pula kejayaan bangsa kita yang selayaknya melestarikan ini semua? Tidak banyak, sedikit pun jadilah... Yang penting, kita usaha...
Noktah.
Tinta Hatiku pada jam 9:06 PM