Tuesday, July 25, 2006

Aku Stres?! Argh!!

Photobucket - Video and Image Hosting

Stres. Ungkapan yang kerap dilafazkan oleh manusia. Ada yang kata, stres sihat. Ada pula yang terlalu tertekan hingga perlu mendapatkan rawatan kerananya.

Aku juga manusia biasa. Ada masa berasa senang, lain masa tertekan jadinya. Lebihan lagi, jika satu minggu pada satu waktu tertentu, aku terpaksa bekerja dari awal pagi hingga senja. Apabila pulang, tugas dibawa ke rumah. Persoalannya, sebagai rakyat yang hidup dalam sebuah negara pesat, adakah kita mampu mengawal tekanan hidup?

Apakah punca utama stres?

Stres wujud kerana pelbagai sebab. Masalah kewangan, keluarga, teman, pekerjaan dan sebagainya. Stres berlaku kerana sesuatu perkara yang perlu dilakukan dan diselesaikan melebihi tahap kemampuan kita. Lebih masa, kuranglah stres. Kurang masa, bertambahlah stres kita.

Setiap manusia menghadapi tekanan hidup. Kita perlu bijak menanganinya dengan fikiran yang terbuka. Segelintir individu mencari ketenangan diri dengan melakukan pelbagai jenis meditasi. Jika anda membaca di akhbar minggu lalu, rawatan dengan menggunakan Reiki merupakan salah satu cara perubatan yang boleh mengurangkan tekanan dalam diri. Segelintir masyarakat kita juga menghadiri kelas-kelas yoga atau pilates untuk menenangkan diri mereka. Mereka yang lebih lasak pula memilih sukan sebagai wadah menghilangkan tekanan. Pemilihan manusia berdasarkan cara terbaik yang boleh mereka cari untuk kembali tenang.

Sebagai masyarakat Melayu-Islam pula, cara terbaik ialah berzikir untuk menenangkan fikiran. Ibadah solat juga merupakan cara yang tepat untuk menghilangkan tekanan setelah sibuk bekerja.

Jangan biarkan tekanan menguasai diri kita. Aku pun sekarang sememangnya stres kerana tugas yang bertimbun dan tugasan yang perlu diselesaikan lagi sehari! Selain ibadah, menulis blog juga adalah cara aku meredakan kembali perasaan yang berapi!

Hehehe...

Tinta Hatiku pada jam 8:33 PM

Friday, July 21, 2006

Hari Berwarna-warni

Si kecil ghairah mengenakan pakaian tradisional. Tidak kira pakaian bangsa sendiri atau bangsa rakannya. Begitu jua dengan yang dewasa. Tidak melepaskan peluang bergaya bersama.

Pada 21 haribulan Julai, sekolah-sekolah menjadi lebih meriah dan berwarna-warni. Wajah-wajah menjadi ceria dengan pelbagai acara yang disediakan untuk para pelajar. Acara-acara yang dipersembahkan pula berbeza mengikut atur cara sekolah masing-masing.

Bagi diri aku, Hari Keharmonian Kaum pada kali ini mengenalkan aku dengan satu seni mempertahankan diri orang India; Silambam. Kita sering didedahkan dengan seni-seni mempertahankan diri yang ada seperti silat atau wushu. Tahukah kita tentang silambam? Walaupun masyarakat India di sini hanya segelintir sahaja, hakikat ini tidak bermakna kita mengenepikan budaya mereka. Deepavali mahupun Thaipusam memang sering diperkatakan. Aku pernah menonton dokumentari tentang Silambam pada masa dahulu.

Silambam berasal dari perkataan Silambamboo yang bermakna bambu dari bukit. Bambu ini merupakan senjata utama bagi seseorang yang mempelajarinya. Apa yang menarik ketika menyaksikan silambam ini ialah tepukan yang juga merupakan satu gerak seni dalam silambam! Aku kagum dengan penggiat seni yang mahir menggunakan bambu dengan pergerakan yang amat laju. Seni mempertahankan diri ini tidak mempunyai pertandingan atau ujian. Namun demikian, jangan sesekali menganggapnya remeh.

Sebagai rakyat Singapura, sikap saling hormat-menghormati amat penting untuk menjana kesejahteraan negara. Sifat riak dan mementingkan bangsa sendiri boleh menjatuhkan imej negara yang sekecil noktah di mata dunia. Sebaiknya kita mengajar generasi muda menghargai dan melestarikan perkara-perkara baru yang ditemui. Pelajaran siviks dijadikan pengukuhan atau pengayaan seseorang pelajar untuk memahami adat resam budaya rakan mereka.

Kita tidak mahu sejarah berulang kembali. Telah banyak usaha dan wang diperuntukkan untuk memajukan tanah tumpah darah kita. Mentelah lagi, bukankah ajaran Islam menggalakkan umatnya menghormati kepercayaan dan kebiasaan orang lain? Jika kita mengeji dan menghina budaya bangsa rakan kita, apakah kita mampu menerima ejekan mereka tentang budaya kita?

Justeru, ku ucapkan Selamat Hari Keharmonian Kaum kepada rakyat Singapura!

Hidup harmoni di mana sahaja kita berada... tenangkan hati, luaskan minda!

Tinta Hatiku pada jam 9:56 PM

Thursday, July 20, 2006

Badang oh Badang!

Badang oh Badang! Versi Kelante.


Melayu kita Melayu istimewa. Rumpun kita, rumpun berbeza. Orang Jawa mengaku Melayu. Orang Yunan mengaku Melayu. Orang India, orang Arab, semuanya ada sebab tersendiri mengaku Melayu.


Di Singapura, Melayu kita Melayu sama. Yang wujud pun dialek semasa. Macam bahasa Inggeris dengan bahasa Singlish. Dialek Melayu kita pula mengikut rentak dan tren dunia. Kadangkala, dicampur pula dengan dialek orang Penang, orang Kelantan, menjadi rojak milik tersendiri.

Aku terkesima dengan klip video ini kerana kejayaan pereka grafik dan rakan-rakannya menghasilkan animasi dalam dialek Kelante. Sebenarnya, penghasilan seni grafik sebegini dapat diperluaskan dan dieksploitasi dalam multimedia khususnya dalam bahasa Melayu. Dengan produk-produk sedemikian, masyarakat atau para pelajar boleh mempelajari dialek-dialek yang ada dalam sesebuah kehidupan masyarakat Melayu itu sendiri dengan animasi yang lucu dan santai. Pendedahan sedemikian akan dapat memberi manfaat kepada golongan yang mempelajari budaya atau bahasa sesuatu daerah.

Kita sibuk dengan pendedahan Teknologi Maklumat. Contohnya, blogging sendiri merupakan salah satu wadah untuk merealisasikan matlamat itu. Dari kaca mataku, animasi yang dikhususkan dalam bahasa Melayu di sini belum meluas. Aku pun terfikir...

Adakah kerana pereka grafik dari bangsa kita sendiri belum mencapai tahap yang memuaskan? atau
Adakah mereka lebih selesa menghasilkan animasi dalam bahasa Inggeris?

Aku pasti ada para pereka grafik di antara kaum kita yang prolifik. Justeru, tugas kita sekarang untuk mencuba dan menyatukan pereka dan ahli bahasa untuk menghasilkan animasi yang mantap untuk tatapan pengguna.

Kita selalu kata, keruntuhan peribadi muda-mudi kerana pengaruh persekitaran yang tiada unsur ketimuran. Justeru, jika teknologi sedemikian bukan dari timur, ambillah kebaikannya. Gunakan teknologi yang ada untuk melestarikan bahasa supaya subur. Sekurang-kurangnya, dengan kerjasama yang terjalin, pelapis muda ini dapat juga mengetahui sedikit sebanyak tentang bahasa dan budaya orang Melayu, ye tak? Sambil menyelam, minum air! :)

Tinta Hatiku pada jam 9:38 PM

Wednesday, July 19, 2006

Kibarkan benderamu!


Warna merah, warna cerah. Warna merah lambang perkasa. Singa lambang kebanggaan negara. Mereka yang menghadiri acara gilang-gemilang semalam pasti membawa seribu kenangan manis. Ada setiap tahun ke sana. Ada pula yang pertama kali menyaksikan acara raksasa.

Usah hanya ajar anak kita menconteng bendera negara di muka tetapi perlu juga bimbing mereka memahat negara di hati dengan membuatsumbangan bermakna...


Petikan di kanan merupakan petikan dari ruang akhbar pandangan Ustaz Pasuni Maulan tentang masyarakat kemajuan masyarakat Melayu di persada dunia. Hanya 14% penduduk Melayu dan kian ramai yang sudah menunjukkan bibit-bibit prestasi yang memberangsangkan dari pelbagi aspek. Malangnya, bilangan peratus yang berjaya ke menara gading masih boleh dikira berbanding dengan bangsa-bangsa lain.

Walaupun peningkatan boleh dilihat pada masa kini, kita tidak boleh cepat berpuas hati dengan kejayaan yang dimiliki. Hidup kita mesti berbudaya ilmu sepanjang hayat.

Setiap kali mendendangkan lagu kebangsaan, kita masih boleh berbangga dengan lirik bahasa ibunda kita. Namun adakah nyanyian tinggal nyanyian? Apakah kita mampu membuktikan cita-cita yang mulia... berjaya Singapura'

Kejayaan Singapura bukan terletak pada kejayaan satu bangsa sahaja. Singapura mempunyai identiti masyarakat berbilang kaum, berbilang agama. Sebagai masyarakat Melayu-Islam, kita perlu menunjukkan tahap pencapaian yang memuaskan. Tenaga yang diperah selama ini tidak boleh disia-siakan. Apakah kita hanya melaungkan 'Majulah Singapura' sedangkan kita hanya ringan mulut berat punggung sahaja? Jangan sia-siakan tenaga yang telah dianugerahkan oleh Maha Pencipta. Tanpa kemudahan semula jadi, tenaga manusia penduduk kita yang sebenarnya diperlukan dalam aspek yang menyeluruh. Barulah kita berasa sesuatu apabila mendendangkan lagu kebangsaan tanah tumpah darah, dengan semangat yang baru.

Oleh yang demikian, muda-mudi sebagai peneraju dan pemimpin mendatang perlu diberi kesedaran untuk kita mencapai matlamat yang diingini, bukan hanya dengan menghadiri perayaan sahaja tanpa mengetahui objektif sebenar.

Fikir-fikirkanlah...


Tinta Hatiku pada jam 5:24 PM

Tuesday, July 18, 2006

Wanita, mari bentuk peribadi unggul!

* * *
Kerana kau wanita
Kerana itu harus kau jaga
Budi bicaramu
Santun akhlakmu

Kerana kau wanita
Usah kau terpedaya
Kata manis si pendusta
Kelak diri kau kan binasa

Kerana kau wanita
Lidah tidak bertulang bahaya
Pisau tajam tiada setandingnya
Hunus pedih jiwa si mangsa

Kerana kau wanita
Jagalah pandanganmu tiap ketika
Menggoncang dunia pada tempatnya
Jadilah wanita penyejuk mata
Bukan wanita pembawa fitnah...

- karya pena : bustan minda

* * *
Renungan buat diriku jua... Yang kadangkala alpa dengan nikmat dunia. Aku harap setiap hari yang kita lalui, kita dapat merenung kembali tiap detik, tiap langkah yang kita lalui. Bermuhasabahlah teman....

Biarlah hari esok lebih baik dari hari ini....

Tinta Hatiku pada jam 10:46 PM

Thursday, July 13, 2006

Belasungkawa - Ishak Ahmat

Foto: channelnewasia.com
Sunting: bustan-minda
* * *
Bintang-bintang di angkasa
Bersinar tidakkan selamanya
Begitu jua manusia di alam fana
Bersatu di tanah milik Dia yang Esa

Ku susur gelanggang arenamu
Penggiat seni tak pernah jenuh
Peribadi unik ekspresi individu
Menghibur hati mereka yang lesu

'Apa dia kak?' masih tersemat di sukma
Kegilaan penggemar pada suatu ketika
Sedetik suaramu terngiang di telinga
Sedetik itu juga kau kembali padaNya

Di sebalik tawamu derita kau tanggung
Di sebalik senyummu tiada kau canggung

Akhir kata kau bertanya dan terasa
Harganya medan juangmu di persada dunia
Keringat titik peluh adakah diterima
Seniman Singapura mampukah bertakhta

Harimau mati meninggalkan belang
Manusia mati meninggalkan nama
Mungkin kini mereka 'kan terasa
Gugurlah sudah penghibur Suria

Semoga Allah memberkati hidup yang kau lalui
Semoga Allah mencucuri RahmatNya ke atas dirimu
Semoga Allah menempatkan kau di kalangan para mu'min...
- karya pena : bustan minda-

* * *

Tinta Hatiku pada jam 8:25 PM

Wednesday, July 12, 2006

Melentur buluh biar dari rebungnya

Lompat si katak lompat, Lompat di tepi pagar,
Sekolah lekas dapat, Dan mesti rajin belajar.

Kalau adik lambat lagi, Lambat bangun pagi,
Lalalalala, lalalalala, Nanti adik rugi.

Lompat si katak lompat, Lompat di air tenang,
Pergi sekolah cermat, Emak bapa hati senang,

Lompat si katak lompat, Lompat di rumput muda,
Belajar kuat-kuat, Buat ilmu hari tua.

* * *

Masih ingatkah kita dengan lagu di atas? Hah, kalau zaman kita adalah zaman 'Lompat Si Katak Lompat', lagu ini memang tidak asing lagi dalam kamus hidup kita. Aku juga berada dalam zaman kegemilangan lagu ini.



" Zaman sekarang, kanak-kanak kurang didedahkan dengan lagu-lagu sedemikian. Cuba tanyakan kepada mereka, lagu apa yang ingin mereka nyanyi..."

Zaman sekarang, kanak-kanak kurang didedahkan dengan lagu-lagu sedemikian. Cuba tanyakan kepada mereka, lagu apa yang ingin mereka nyanyi. Jawapan mereka...

Anak A : Oooo pop, Ooo pop, Oooo pop yeh-yeh.
Anak B : Siapa bilang gadis Melayu tak menawan, tak menarik hati tiada memikat...
Anak B: Bisikan sang bayu, membawa perkhabaran...

Ewah, ewah... yang ku tanya semuanya berumur 6 tahun tau! Heh, aku tidak hairanlah kerana lagu-lagu ini sentiasa diudarakan di corong-corong radio dan televisyen. Apa yang mereka lihat, dijadikan ikutan.

Sebenarnya, lagu kanak-kanak tidak kurang hebatnya. Aku gemar dengan irama lagu kanak-kanak yang memikat hati jika didendangkan oleh anak-anak kecil yang mongel dan comel. Dengan telatah dan gaya mereka pabila menyanyi menjadi penyejuk hati kepada orang yang memandang. Bukan itu sahaja, lagu-lagu ini banyak menyelitkan unsur-unsur didaktik untuk dijadikan pedoman dan tauladan. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.

Sebagai contoh, lagu suriram merupakan lafaz kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Sebahagian dari liriknya berbunyi begini:

Suriram, suriram ram ram
Suriram manisku
Aduhai anakku sayang
Suriram jantung hatiku

Irama ini juga dijadikan dodoian untuk anak-anak kecil kerana iramanya yang mendayu-dayu.

Apa yang kita lihat seperti dialog-dialog di atas tadi menunjukkan betapa majunya anak-anak sekarang! Lihat sahaja klip video berikut... boleh jadi bintang kecil idol?



Tinta Hatiku pada jam 9:01 AM

Tuesday, July 11, 2006

Apresiasiku


Didorong oleh rasa ingin membela agama dan perasaan ingin memenangi hati Natalya. Zakry berusaha mendalami agama sendiri dalam tempoh yang singkat. Malah dia juga mendalami Bible dan masalah yang timbul di dalamnya. Dia cuba membuktikan kepada Natalya yang dia sudah berubah menjadi manusia yang lebih berprinsip dan beragama. Sekali gus mahu membuktikan Islam adalah agama yang benar.

Cinta terlalu murah. Sepanjang waktu dia cuba membuktikan kenyataan itu, namun realiti menyatakan sebaliknya. Natalya muncul dan Zakry menemukan sebuah cinta yang begitu sukar dimenangi. Ia bukan sekadar mengajarnya erti pengorbanan, malah mengajarnya erti ketuhanan. Natalya bukanlah seperti gadis kebanyakan yang pernah ditemuinya. Dia dibesarkan dalam keluarga yang kuat beragama Kristian dan berpegang utuh pada ajaran Bible. Saat Zakry meluahkan perasaan cintanya kepada Natalya, malangnya dia bertepuk sebelah tangan. Malah Natalya bertindak memperlekehkan dirinya selaku seorang Muslim yang langsung tidak memahami agama anutan sendiri.

Peristiwa itu menyebabkan Zakry kecewa dan berazam untuk berubah. Malah dia juga mendalami Bible dan permasalahan yang timbul di dalamnya. Dia cuba membuktikan kepada Natalya bahawa dia telah berubah menjadi manusia yang lebih berprinsip dan beragama. Sekaligus mahu membuktikan bahawa Islam adalah agama yang benar. Justeru, untuk mencapai matlamat itu Zakry telah melalui proses yang panjang. Mungkinkah dia berjaya mencapai matlamat itu atau tidak? Pastikan anda mengetahui penghujung kisah ini.

Hari ini aku hendak ucapkan tahniah kepada rakan maya yang berjaya menghasilkan buku genre agama dalam bentuk novel grafik. Malah aku tabik! Bukunya adalah yang pertama dihasilkan di Malaysia dalam bentuk sedemikian. Kelebihannya kerana bakat beliau yang pandai melukis dan menulis. Lukisannya itu menghiasi dada-dada muka surat yang membuatku santai apabila membaca bukunya.

Selak-selak isi kandungan

Memang sudah lama aku menunggu buku-buku berunsur dakwah untuk memasuki pasaran dengan cara yang kreatif. Malah, satu medium dakwah yang paling mudah juga. Walaupun dari jauh dilihat seperti ilustrasi dari komik, mesej yang disampaikan amat mendalam dan menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia yang berligar di sekitar percintaan dan keagamaan. Pastinya, jika isi kandungan buku ini disampaikan dalam bentuk novel yang biasa, aku akan berasa bosan. Aku percaya, setiap mesej yang berat itu mudah difahami jika kita mengatur strategi dan melihat keinginan para pembaca dan tren masa kini untuk disesuaikan dengan kehidupan muda-mudi.

Aku juga bersyukur kerana bertemu dengan rakan-rakan maya di seberang tambak yang mempunyai minat dalam lukisan dan penulisan. Tidak sia-sia mengenali kawan yang membawa kebaikan kepada diri kita. Setidak-tidaknya, otak aku ini pun dapat bersenam sama mendengar perit jerih rakan-rakan yang sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat yang diinginkan. Aku tabik dengan Ubai. Walaupun masih menuntut di Cairo di Tanah Arab sana, beliau masih lagi tekun dan menulis di media tanah tumpah negaranya.

Syabas, A.Ubaidillah Alias atau yang asal aku kenali sebagai cairostudent.

Teruskan perjuanganmu teman
Dalam perjalananmu pasti ada yang sukar

Terpijak duri, terluka berdarah
Semuanya resam perjuangan kita

Seperti yang kau kata,

'dengan langkah yang tetap dan mandiri...'

- Sekudus Nur Illahi-
A. Ubaidillah Alias
Pelukis dan Penulis

Tinta Hatiku pada jam 8:07 PM

Monday, July 10, 2006

Yok, canting!


Hari ini, sesi batik telah diadakan pada waktu rehat untuk mengisi masa murid sambil menimba ilmu baru. Aku gembira kerana sikap kesukarelaan murid dari bangsa lain yang ingin mencuba sesuatu yang baru - batik. Walaupun pengalaman yang diperoleh hanya sedetik sahaja, bukankah setiap pengalaman sebesar zarrah juga dianggap ilmu? Dan ilmu itu pula jika dapat dikongsi sekecil mana pun tidak akan rugi jadinya. Hanya kebimbingan yang menyelinap di fikiranku seketika jika orang kita tidak mengenali keindahan dan keistimewaan seni ini.

Kalau pandang tidak tahu. Alat batik kau tahu?

Jom cerita sikit fasal batik!

Canting, amat berkait rapat dengan seni lukisan batik. Alat ini amat diperlukan untuk melakar perbagai jenis corak mengikut kehendak pelukisnya. Namun demikian, sesuatu corak tidak boleh terjadi jika canting itu tidak diisi dengan lilin yang telah dipanaskan untuk membentuk corak tersebut. Mereka yang mahir menggunakan canting aku anggap sebagai orang yang telaten kerana kesabaran sangat diperlukan untuk penghasilan batik yang terbaik mentelah lagi dalam bidang perniagaan. Cuma, penggunaan canting mengambil masa yang agak lama. Justeru, pada abad yang ke19, penggunaan cap dicipta untuk menghasilkan kain-kain batik yang lebih cepat dalam perniagaan.

Batik pula berbeza dari satu negara dengan negara yang lain. Batik Indonesia pastinya berbeza dengan Batik di Malaysia. Pada zaman ini, batik sudah kembali popular. Aku teringat ketika bercuti di Malaysia tahun lalu. Mereka telah mengadakan festival batik di KL. Apa lagi, aku sakan berbelanja di sana kerana fabriknya yang amat menarik. Sekarang pun, sudah ada batik kontemporari. Mungkin, batik sebegini lebih digemari oleh orang-orang muda kerana warna yang lebih terang berbanding golongan veteran yang mempunyai cita rasa batik yang asli. Malahan, corak batik digayakan dengan blaus ala Kimono yang kian digemari oleh kaum wanita masa kini.

Aku pun baru mendapat tahu bahawa batik, bukan sahaja dihasilkan di Tenggara Asia, batik juga digunakan di Afrika dan Ukraine! Wah, hebat bukan! Bezanya, mereka menggunakan bahan-bahan yang berlainan untuk menghasilkannya. Apa pun jua, batik yang dipercayai asalanya dari Tanah Jawa telah menyerantau ke seluruh dunia. Salah satu organisasi yang aku tahu ialah BatikGuild yang berpusat di UK.

Lukisan abstrak, lukisan hidup atau pemandangan, semuanya digunakan dengan kaedah batik. Amat memberangsangkan! Justeru, kejayaan batik untuk berkembang di negara-negara lain memberi sambutan yang positif.

Cuma....

Aku tertanya-tanya dalam diri. Malu juga kalau orang kita tidak mengetahui tentang batik. Bukanlah diri ini menyuruh semua menyelidiki latar belakangnya. Apa pula orang luar kata kalau dengan melihat bingkai gambar, canting dan kain sebagai alat-alat mudah melukis batik tidak kita ketahui? Adakah kita akan jawab "Entah, aku pun tak tahu lukisan apa ni!" Sekurang-kurangnya apabila kita pandang sahaja, kita tahu itulah batik walaupun pengetahuan tentang hal itu tidak mendalam.

Jika diteliti, aku suka dengan cara asli melukis batik dengan mengawal canting. Cara ini memerlukan latihan dan istiqamah supaya gambar yang dihasilkan cantik. Tanpa kawalan yang betul, comotlah jadinya! Tidakkah dengan kaedah begini menunjukkan bahawa orang Melayu kita memupuk nilai kesabaran dan kesungguhan melakukan sesuatu? Kehalusan budi dan kesantunan pekerti terpancar dari penghasilan batik itu.

Atau kita hanya ibarat kerbau dicucuk hidung atau seperti watak di atas tadi? Yang membiarkan orang luar tekun mengetahui tentang seni budaya kita sedangkan kita sibuk mengikut seni luar yang lazimnya tidak sebulu dengan tatasusila masyarakat dan agama kita. Kejayaan batik mungkin kerana penyebarannya yang meluas. Bagaimana pula kejayaan bangsa kita yang selayaknya melestarikan ini semua? Tidak banyak, sedikit pun jadilah... Yang penting, kita usaha...

Noktah.

Tinta Hatiku pada jam 9:06 PM

Sunday, July 09, 2006

Manira kau dan aku

Bayangkan dunia tanpa mentari merah.
Bayangkan dunia tanpa bianglala.
Yang ada hanya putih dan hitam.



Pastinya emosiku akan bercelaru dek suasana yang kelam dan pusam. Setiap hari merenung di jendela mahupun di luar rumah, yang ku lihat hanyalah hitam- putih-hitam-putih, seperti penguin yang tergolek-golek di kutub sana. Bosan kan?



Hmmm....

Cubalah kita renungkan wajah manusia.Apakah yang akan terjadi jika manusia diciptakan begini?


Lain pula ceritanya. Kaget dan terkejut jadinya!

Mungkin amat pelik dan janggal kerana manusia dicipta dengan asas warna tanah tidak kira hitam manis, kuning langsat atau kemerah-merahan. Namun demikian, bukankah warna memainkan peranan penting dalam kehidupan kita? Sejak dari dulu lagi, ahli Sains seperti Aristotle, Avicenna dan Chevreul banyak mengaitkan kajian mereka dengan warna. Johannes Itten pula amat berminat dalam kajian warna dan perasaan manusia. Malahan, pada era masa kini, warna giat digunakan oleh para doktor sebagai bahan terapi dan psikologi manusia terutama sekali pada kanak-kanak yang mengalami masalah.

Apa yang dilihat di atas mungkin hanyalah topengan yang berwarna-warni. Realitinya, topengan itu juga menggambarkan sifat dan akhlak manusia yang mencalitkan warna di topengan itu. Emosi yang bergejolak, ketenangan hati dan kegembiraan selalunya digambarkan dengan warna-warna yang dipilih. Contohnya, merah boleh dikaitkan dengan sifat marah. Dari sudut positif, keberanian diutamakan. Terpulang kepada individu untuk mentafsirkan ertinya. Kadangkala, tafsiran warna juga bergantung kepada budaya dan kehidupan sesuatu masyarakat. Kalau orang Melayu jati pun, kulit sama coklat, tapi hati tetap lain...

Aku juga begitu...
Inilah hasil topengan maniraku...

Aspirasiku sebagai seorang pendidik dari sesi perkongsian mengenai Lukisan dalam Siviks dan Pendidikan Moral sewaktu MOE Excel Fest yang baru berlalu. Mereka kata, jangan lihat pada warna, lihat pada akhlaknya. Tetapi....

Merah yang ku warna
Adalah lambang tekad yang utuh
Keringat yang ku perah
Hasil tenaga merangsang minda anak bangsa
Kerana kasih akan ilmu sepanjang masa

Jingga yang ku corak
Simbol kreativiti yang ku pacak
Sebagai motivasi anak-anak didikku bergerak
Agar kesungguhan mereka sentiasa tersemat

Kuning ku bukan kerana gentar
Kuning ku demi menjaga maruah
Maruahku juga maruah agama
Menjadi benteng setiap ketika

Kata orang 'Seorang bayi itu ibarat kain putih... ibu dan bapa yang mewarnakan kehidupan mereka...' Fikir-fikirkanlah...

Tinta Hatiku pada jam 12:04 PM